Fakta menarik dari email aku untuk dikongsi.....kredit to kosmo....
KEPADA sesetengah individu
terutama si kecil, fasa untuk melelapkan mata mungkin terganggu atau mengambil
masa yang agak panjang sekiranya bantal busuk tiada di sisi.
Bahkan kepada si kecil, ada yang
merengek-rengek, gelisah, menangis atau menyusu dengan selesa sekiranya
kehilangan bantal busuk.
Fenomena bantal busuk hakikatnya
bukan isu yang berlegar dalam kalangan si kecil. Sebaliknya, bantal busuk iaitu
objek yang menjadi peneman kepada seseorang ketika mahu tidur ini juga berlaku
dalam kalangan orang dewasa.
Bantal busuk hanya istilah yang
dilabelkan kepada objek yang menjadi peneman kepada seseorang ketika tidur.
Bantal busuk juga boleh bermaksud selimut, sapu tangan, kain pelikat, kepala
anak patung, patung beruang dan sebagainya.
Hari ini, masih ada dalam
kalangan orang dewasa yang terbawa-bawa dengan tabiat bantal busuk yang menjadi
kelaziman sejak kecil. Bahkan, tidak mustahil tabiat yang sama terbawa-bawa ke
alam perkahwinan.
Walaupun objek yang menjadi
bantal busuk sudah bertukar warna, kepam dan berbau, namun ia tetap menjadi
pujaan kepada pemiliknya. Bantal busuk seolah-olah mempunyai kuasa yang luar
biasa.
Wajib
bersama
Pemilik dan bantal busuknya
umpama isi dengan kuku. Barangkali kepada mereka yang memiliki bantal busuk,
hidup mereka bukan sahaja tidak sempurna tanpanya, malah boleh menyebabkan si
pemilik menjadi tidak keruan. Justeru, tidak hairanlah jika si pemilik dan
bantal busuknya wajib bersama walau ke mana-mana saja.
Bagaimanapun, ada sesetengah
pihak menyifatkan tabiat itu hanyalah bersifat sementara iaitu pada zaman
kanak-kanak sahaja. Namun, tabiat itu sebenarnya boleh berlarutan sehingga ke
peringkat dewasa dan sukar dikikis jika tidak dikawal sejak awal lagi.
Ammirul Ashraf, 18, mengakui
masih menyimpan bantal dan selimut yang menjadi peneman tidurnya sejak dia
berumur setahun.
Anak bongsu daripada tiga beradik
itu mengakui dia tidak berasa malu asalkan kedua-dua barangan itu berada
bersamanya lebih-lebih lagi ketika waktu tidur atau apabila keluar dari rumah
untuk tempoh yang lama.
Menyorokkan
bantal
Justeru, bantal busuk itu
terbatas penggunaannya iaitu hanya apabila dia berada di rumah sahaja.
"Saya rasa tabiat ini tidak
memudaratkan kesihatan kerana saya hanya memerlukan bantal berkenaan sebagai
peneman tidur sahaja dan bukanlah dikendong ke mana-mana saja seperti anak
kecil," ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Pantai Baru, Kuala
Lumpur baru-baru ini.
Lelaki yang tidak lekang dengan
senyuman itu memberitahu, dengan adanya bantal tersebut, dia dapat tidur lena
dengan memeluknya.
Ketika ditanya sama ada tabiatnya
itu mendapat tentangan keluarga, Ammirul hanya melemparkan senyuman.
Ujar Ammirul Ashraf, ibu termasuk
adik-beradiknya pernah membuat cubaan beberapa kali menyorokkan bantal
kesayangannya itu.
Mengimbau pengalaman terpaksa
berenggang dengan bantal itu beberapa kali, Ammirul Ashraf mengakui dia tidak
dapat tidur lena.
Semuanya gara-gara salah seorang
kakaknya menyorokkan bantal busuknya itu supaya Ammirul Ashraf meninggalkan
tabiatnya itu.
"Seingat saya, ia berlaku ketika
saya masih kecil lagi. Masa itu memang susah untuk tidur. Saya cuba sedaya
upaya mencarinya tetapi gagal dan akhirnya terlelap gara-gara penat,"
ungkapnya sambil memberitahu, dia jarang membasuh bantal busuknya.
Tidak
berenggang
Selain bantal, Ammirul juga
memiliki selimut busuk yang dimiliki sejak tiga tahun lalu.
Akuinya, tabiat baharu itu wujud
tanpa disedari sehingga dia ditegur ibunya.
"Saya memang tidak sedar,
tahu-tahu sahaja saya tidak boleh berenggang dengan selimut ini ketika mahu
tidur," ujarnya.
Ketika ditanya sama ada dia malu
atau tidak dengan tabiatnya itu memandangkan dia seorang lelaki, Ammirul Ashraf
mengakui dia tidak berasa malu kerana kedua-dua barangan itu akan dibawa
bersama sewaktu tidur sahaja.
Sehubungan itu, dia belum
memasang niat untuk membuang bantal dan selimut busuknya itu kerana ia
mempunyai nilai sentimental.
Sementara itu, bagi Munirah
Salim, 27, mempunyai anak yang menggemari bantal busuk bukan satu masalah
kepadanya.
Ibu kepada seorang anak lelaki,
Muhammad Qaid Ariff Mohd. Hafiz itu memberitahu, anaknya yang baru berusia
setahun sudah mempunyai selimut busuk sejak berumur empat bulan lagi.
Tuturnya, selimut tersebut
digunakan untuk menyelimutkan tubuh badan anaknya itu. Namun, selepas beberapa
bulan dia mengambil selimut itu untuk dibasuh dan menukarkannya kepada yang
lain, anaknya itu kelihatan tidak keruan.
"Ketika itu, Qaid asyik
merengek sehinggalah saya berikan semula selimut terbabit barulah dia berasa
tenang itupun selepas merenyukkannya dengan kain lain," ujar Munirah
ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai tabiat
anaknya itu, Munirah memberitahu, selimut tersebut akan dibawa ke mana-mana
sahaja walaupun untuk seketika.
"Bayangkan, kalau hendak ke
stesen minyak mahupun kedai runcit, selimut itu pasti akan dibawa. Jika tiada
selimutnya, dia memang tidak akan duduk diam, ada sahaja yang tidak kena.
"Saya dan suami tidak akan
lupa membawa selimutnya setiap kali keluar dari rumah," jelas Munirah
mengakui dia juga mempunyai tabiat yang sama seperti anaknya ketika zaman
kecilnya.
Semasa zaman kecilnya, anak jati
Perlis itu turut memiliki kain pelikat milik ayahnya. Tabiat itu mula timbul
apabila ayahnya berkursus beberapa hari.
Pada masa itu, Munirah terlalu
rapat dengan bapanya. Ketiadaan bapanya menyebabkan Munirah sentiasa menangis.
Justeru, untuk memujuk Munirah, ibunya memberikan kain pelekat bapanya.
Namun lama-kelamaan, Munirah,
tidak dapat berenggang dengan kain pelikat tersebut sehinggalah umurnya berusia
12 tahun.
"Namun, apabila semakin
meningkat dewasa, timbul rasa malu dalam diri dan secara tidak langsung saya
berjaya membuang tabiat itu tanpa sebarang paksaan," jelas Munirah sambil
berharap anaknya itu juga mengikut jejaknya.
seret bantal busuk sampai ke hospital....huhu..
wajah ceria di samping bantal busuk yang memang busuk..
sampai 2 bijik..agak tamak yer disitu...
P/s : bantal busuk apip since baby..sudah 2 tahun...wuhuhuhu....
No comments:
Post a Comment